22 September 2013

Cantik PALSU atau ASLI??

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh :)

Alhamdulillah, Segala Puji-Pujian di panjatkan ke hadrat Ilahi
kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kita bersama-sama melakukan
sesuatu yang bermanfaat di dalam setiap ibadah yang kita lakukan kerana Allah. Insya-Allah.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد
Alhamdulillah, Apa khabar saudara saudari yang di kasihi kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Alhamdulillah, moga berada di dalam rahmat Allah selalu, Insya-Allah.

                                       
Kecantikan sinonim dengan wanita, bila sebut "cantik" pastinya kita akan menggambarkan wanita yang berwajah cantik, bertubuh langsing dan sebagainya.
Pasti ramai juga antara kita yang pernah melihat iklan produk kosmetik tak kiralah di televisyen, di dalam akhbar, majalah dan sebagainya menggunakan kata-kata seperti ini:
ANDA INGIN MEMILIKI WAJAH YANG CANTIK
LAGI MEMPERSONAKAN?
ANDA MAHU WARNA KULIT ANDA PUTIH MELEPAK?
DAN ANDA MAHU TUBUH YANG LANGSING?
Cikgu IT ana, ada berkata.."Apabila iklan di televisyen cuba kamu jangan tengok" Motif??
Pastinya ia mempengaruhi minda.

Ini salah satu "kreativiti" pengeluar bagaimana untuk menarik pengguna menggunakan produk mereka.
Memang bagi wanita, kecantikan itu amat penting. Lalu ramai wanita menggunakan kosmetik seperti bedak, gincu, dan sebagainya. Bahkan sekarang, si gadis sunti dan remaja tidak turut ketinggalan menggunakannya. Sebab bagi mereka "BEAUTIFUL IS NUMBER ONE"

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan"
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Para pengguna harus sedar, sesetengah produk kosmetik itu ada bahayanya. Ada sesetengah kosmetik di perbuat daripada bahan-bahan yang tidak selamat dan tidak sesuai campurannya! Kosmetik yang berbahaya itu jika dipakai pastilah merugikan si pemakainya. Hasrat agar di lihat cantik mungkin menimbulkan penyakit pada kulit. Pengguna kosmetik khususnya, pasti sudah bijak, bijak sahaja tidak cukup, ramai juga yang menggunakan bahan-bahan yang haram, contohnya seperti  Botox. Produk-produk berbahaya itu antaranya mengandungi toksin dari bakteria "Clostridium Botulinum." Toksin ini di suntik ke tubuh manusia dengan pelarut dari bahan plasenta haiwan atau manusia. Plasenta haiwan yang digunakan itu biasanya dari apa sahaja jenis haiwan.

Nah! Untuk lebih selamat, gunalah kosmetik yang diperbuat dari bahan-bahan asli atau herba. Untuk memutihkan kulit misalnya, boleh memanfaatkan limau nipis yang sangat bagus untuk kesihatan kulit. Untuk menghitamkan rambut, bolehlah manfaatkan tumbuhan lidah buaya dan sebagainya. Untuk mencantikkan diri bolehlah digunakan beberapa jenis tumbuhan seperti sayur-sayuran  mentimun, tomato, lobak merah, kentang dan sebagainya. Dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, bahkan dapat menjamin kecantikan dan kesihatan badan. Insya-Allah.
                                  
Kecantikan sebenar itu tidak diukur pada yang zahir sahaja, bahkan kecantikan dalaman atau Inner beauty amat penting sekali. Hal ini boleh di bina melalui pelbagai faktor, salah satunya menjaga keperibadian diri. Asasnya "percantikkanlah diri dari dalam hati." 
Jika cantik secara zahir boleh di lihat menerusi cermin, tetapi kecantikan dalaman itu tidak. Kecantikan dalaman ini, tercermin menerusi kelembutan dalam tutur kata, kesopanan, cermat dalam pergaulan bahkan lebih kepada sifat-sifat terpuji.
                                

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
"Jika seketul daging itu baik maka baiklah seluruh jasadnya
dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. 
Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pastinya kecantikan yang terserlah secara semulajadi tanpa menggunakan kosmetik lebih tahan lamanya, dari menggunakan kosmetik. Insya-Allah.


                                         

01 Mei 2013

Nikmat Kesihatan


Rabbi Yassir Wa'la Tu'assir Rabbi Tammim Bil Khair
::YA ALLAH PERMUDAHKANLAH JANGAN DIPERSULITKAN 
YA ALLAH SEMPURNAKANLAH DENGAN KEBAIKAN::

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh :)
Alhamdulillah, Segala Puji Hanya Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan tercinta, ahli keluarga serta sahabat baginda.

 Wahai hamba Allah, Apa khabar? Alhamdulillah, mudah-mudahan iman bertambah cantik, kesihatan bertambah baik. Insya-Allah. Moga berada dalam rahmat Allah. Insya-Allah


Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada dua nikmat yang sering di lupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Alhamdulillah, sudah tiga hari, nikmat sihat itu di tarik, di uji dengan sakit. Syukur Alhamdulillah. Itu baru  tiga hari, bagaimana pula dengan orang yang bertahun-tahun melawan kesakitan, dan ada pula yang di khabarkan oleh doktor, tiada harapan untuk sembuh. Allah, biarpun ia suatu ujian yang cukup besar, tetapi ia juga suatu keberuntungan bagi orang yang sakit.
Ya suatu keberuntungan. Mengapa?
Di angkat darjat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dari Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang  kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya." (HR at-Tirmizi)

Hidup sihat adalah kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sering lupa kita syukuri, namun setiap saat kita menikmatinya. Biasanya kalau kita merasa sakit sedikit sahaja, itupun sudah mengeluh secara berlebihan. Namun, tatkala merasa sihat, kita lupa untuk bersyukur kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah banyak memberikan kurnia kepada kita, tapi kebanyakan kita tidak menyedarinya.
Apabila kita mahu merenungkan, betapa kesihatan merupakan salah satu nikmat, dan ini adalah nikmat terbesar sesudah iman. Sihat memang bukan segala-galanya, namun kalau tidak sihat, kita sakit, maka segalanya akan kehilangan makna. Pada saat kita masih mampu bernafas dan menghembuskannya, pernahkah kita mensyukurinya?

Apabila kita menghidap penyakit di saluran pernafasan, tentunya pernafasan kita akan terganggu.  Jadi menghembus dan menarik nafas adalah suatu nikmat yang besar, kerana dengan tarikan dan hembusan nafas itulah umur kita akan di panjangkan atau sebaliknya, dengan berhentinya kita menarik dan menghembuskan nafas, bererti umur kita juga akan berakhir. Maka dari itu, selama kita masih boleh bernafas, kita ucaplah ALHAMDULILLAH dengan begitu oksigen yang kita serap akan membawa berkat. Insya-Allah
Begitu pula,  ketika mata dan telinga kita masih boleh berfungsi untuk melihat dan mendengar, ucaplah Alhamdulillah, dengan nikmat yang di kurniakan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita.
Kalau kita tidak mensyukuri nikmat kesihatan ini, maka kita akan cenderung menyalahgunakan fungsi nikmat yang di berikan. Bersamalah kita manfaatkan nikmat kesihatan ini dengan hal-hal yang positif.
 "SESEORANG ITU SIHAT JIWANYA SEKIRANYA DIA DAPAT BERSYUKUR DAN PANDAI BERSYUKUR."
Dari Suhaib r.a, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaannya  pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya." (HR Muslim)

Marilah kita menjadi hamba-hamba Allah yang tahu mensyukuri nikmat dan kurnia-Nya yang telah di berikan kepada kita. Insya-Allah.

Ya Allah sihatkanlah badanku, Ya Allah sihatkalah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku. Aamiin Ya Rabbal'Alamin



20 Februari 2013

::Seni Berumahtangga::


"Rabbi-'shrah li sadri wa yassirli amri wa-hlul 'uqdatan min lisani yafqahu qawli."
Assalamu'alaikum w.b.t ^_^ , 
Segala Pujian Hanya Untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala, Selawat serta salam buat Nabi s.a.w. ahli keluarga dan sahabat baginda sekelian.
 Wahai sahabat apa khabar iman dan niatmu ketika ini, masihkah ada Allah di hatimu, In shaa Allah.. mudah-mudahan imanmu bertambah kuat, keyakinanmu bertambah mantap, dan terus istiqamah.
Alhamdulillah, walaupun diri ini tidak berapa sihat, tetapi syukur nikmat yang lain masih sihat. 
"Fokus pada kurniaan Allah bukan pada kesakitan itu semata-mata"

>>Entry kali ini ana ingin berkongsi catatan mengenai seni berumahtangga, walaupun ana masih belum berkahwin, tetapi insyaa Allah tidak lama lagi ^^ masing-masing mempersiapkan diri, insyaa Allah.<<
::Diriwayatkan dari Anas r.a, katanya,
"Sesungguhnya beberapa orang sahabat Nabi s.a.w
Apakah amalan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w yang tidak di ketahui oleh mereka.
Ada diantara sahabat yang memberitahu bahawa mereka tidak mahu berkahwin. Ada yang kata mereka tidak makan daging. Ada juga yang menyatakan mereka tidak pernah tidur di atas hamparan.
Sebaik saja mendengar perkara itu Nabi s.a.w memuji Allah dan bersabda,"Apa kena dengan mereka. Mereka berbicara tentang itu dan ini. Sesungguhnya aku mendirikan solat, tidur. Aku berpuasa, berbuka dan berkahwin. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, dia bukan daripada golonganku (umatku)." 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai dan Ahmad) 
                                    Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan  kebahagiaan dalam berumahtangga. Insyaa Allah impian itu akan dapat dicapai jika mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.
   1.  Kita perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal. Ianya selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."

      2. Kita perlu menyedari bahawa perkahwinan kita dengan orang yang di kasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tanpa restu dan izin dari yang Maha Esa, perkahwinan kita dengan pasangan tidak mungkin terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah kita untuk ke arah itu. Kita perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan  kita terletak di tangan-Nya, dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa yang di kehendaki-Nya. Sebagai seorang yang beriman kepada qada' dan qadar-Nya, kita hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh kita dengan pasangan berpanjangan hingga ke akhir hayat. Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

    3.   Perkahwinan menciptakan hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab suami ialah memberi nafkah zahir dan batin, mendidik isteri dan anak-anak, berlaku baik terhadap mereka dan sebagainya. Manakala tanggungjawab isteri pula taat pada suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan hukum syarak, memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan sebaginya. Melaksanakan tanggungjawab ini bukan sekadar menggembirakan hati pasangan sahaja, sebaliknya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

    4. Sebagai seorang mukmin, sama ada lelaki atau perempuan, kita hendaklah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud: 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Oleh itu kita mestilah memahami kedudukan kita disisi pasangan. Kita bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, ibu bapa jatuh ditempat kedua, kemudian barulah isteri dan keluarga sebelah isterinya. Sementara bagi isteri pula, suami ditempat kedua selepas Allah dan Rasul-Nya, kemudian baru ibu bapa kandungnya.
    5.   Kita harus ingat, pasangan kita adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Kita juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan kita melakukan kesilapan janganlah terlalu diperbesarkan atau dihitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafkan.

     6. Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian  bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk melindungi diri daripada hujan dan panas, begitulah pentingnya kita kepada pasangan. Sebagai pakaian kita diperlukan setiap masa oleh pasangan untuk menutup keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Kita perlu menjadikan diri kita sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.

7. Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara kita dan pasangan  sebelum perkahwinan. Ijab kabul bukan sahaja menjadikan kita sah sebagai suami isteri, malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan. Kasih sayang bukan sahaja berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.  
     8.  Kita perlulah beradab ketika pertemuan kali pertama dengan pasangan. Suami hendaklah memberi salam  kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri  sambil berdoa dengan maksud:
"Wahai Tuhanku aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu, pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan dan dijauhkan kejahatan. Dan jika pasangan hendak bersama bacalah doa yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau akan anugerahkan kepada kami."

9.  Saling memaafkan antara satu sama lain. Bak kata pepatah "sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri." Maka apabila berlaku perselisihan faham janganlah diperbesarkan. Jika suami marah seeloknya si isteri berdiam, dan jika sebaliknya giliran suami pula mendiamkan diri. Hidup yang saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahkan seri dalam rumah tangga. Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diberikan ujian akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar memudahkan usaha setiap individu dalam melayari kehidupan berumahtangga. 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
"SESEORANG AKAN MENJADI HAMBA KEPADA APA-APA YANG DICINTAINYA."
(Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapat kemanisan iman, iaitu
Allah dan Rasul-Nya lebih di cintai daripada selain kedua-duanya, serta memcintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)