29 September 2012

Nikmat Penghijrahan


Alhamdulillah... Hanya perkataan itu yang mampu aku ucapkan.. Sujud 1000 tahun pun tidak cukup atas nikmat yang tak ternilai ini.. Terima kasih ya Allah atas hidayah yang tidak terhingga ini. Sungguh Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Aku cuma gadis biasa, bukan dari sekolah agama, bukan juga dari keluarga ulama.. Aku hanya ingin berkongsi cerita tentang nikmat Allah yang tak terhingga buat hambaNya..
Kisah ku bermula saat pertama kali aku melihat seorang gadis yang sangat manis bertudung labuh di salah sebuah kedai, di bazaar ramadhan.. Aku terpegun seketika.. Subhanallah.. Sejuk mata memandang.. Ya Allah, beginikah rupa penghuni syurgaMu? Subhanallah.. Terasa malu melihat diriku sendiri, kerana walaupun aku dibiasakan bertudung sejak kecil, berbaju lengan panjang dan tidak jarang, namun auratku hanya ditutup ala kadar sahaja..
Dulu, pernah juga terdetik di hati ini untuk bertudung labuh, kononnya ingin mengikut langkah ibu.. Namun, oleh kerana taku pada perlian teman-teman sekeliling, niat itu terkubur sendiri..
Teringat aku pada satu ayat yang pernah aku baca suatu ketika dulu, 'Hidayah itu ibarat cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke rumah yang mana jendelanya tidak dibuka.' Kata ustaz pula, "hidayah tu milik Allah.. Hanya Dia berhak memberi hidayah itu kepada sesiapa pun.. Sungguh, Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.. Mintalah, pohonlah hidayah itu agar selamat dunia dan akhirat.."
Aku termenung sendiri.. kalau bukan sekarang, bila lagi?? Takkan nak tunggu sampai aku mati? Jika bukan aku yang membantu diri sndiri, siapa lagi yang sudi?? Takkan nak lupakan dan biarkan perasaan itu terkubur sekali lagi??
Sejak dari hari itu, aku usaha melabuhkan apa yg ada.. Tiada lagi baju t-shirt yang ala kadar tertutupnya, tiada lagi tudung bawal yang hanya indah pada sulaman namun nipis pada zahirnya.. Biar apa org kata, kolot, kampung dan sebagainya, asalkan aku selesa.. Alhamdulillah, dengan kemudahan internet yang ada, aku gunakan untuk mencari artikel mengenai wanita, aurat, amalan-amalan yang boleh ku amalkan dan sebagainya..
Aku akui, aku bukan seorang muslimah yang baik, tetapi aku ingin menjadi baik.. Ya, aku ingin menjadi baik.. InsyaAllah..! Aku percaya, bila niat kita baik, ingin menjadi baik, pasti Allah s.w.t akan bantu kita.. Hanya terpulang pada diri kita untuk memilih sama ada mulakan langkah pertama, atau mundur ke belakang dan lupakan semuanya..
Suatu hari, ketika aku menyimpan baju ke dalam almari ibu, tergerak di hatiku utk mencuba sehelai tudung labuh bewarna merah jambu.. Selesai sahaja kerja-kerjaku, aku ambil tudung labuh itu dan ku sarungkan di kepalaku.. Aku berdiri di hadapan cermin. ku lihat diriku. Subhanallah..! Aku terkedu.. Aku dapat rasakan sesuatu.. Rasa tenang, dilindungi dan merasakan apa yg ku cari selama ini telah kutemui..
Tanpa ku sedari setitis air mata hangat mengalir di pipi.. Tidak dapat ku tahan lagi, aku menangis sepuas-puasnya..
"Ya Allah, jika ini yang terbaik buatku, dan jika ini dapat membahagiakanMu, kuatkanlah aku, permudahkanlah segala urusanku dalam hijrah di jalanmu, ya Allah.. didiklah aku menjadi muslimah yang solehah.. Aaminnnn!'". Bisikku dalam hati
Sedikit demi sedikit, aku mula mula menjadikan laman facebookku sebagai medan perkongsian ilmu dan peringatan buat diriku sendiri. InsyaAllah tiada lagi sesi luahan yang hanya sia-sia.. Sabda Rasulullah SAW, 'sampaikan dariku walau sepotong ayat..' ada juga sebilangan warga Facebook yang seolah-olah mengejek diriku atas apa yang aku sampaikan.. Alhamdulillah, semua itu tidak mematahkan semangatku, malah lebih menguatkan aku kerana mungkin ini cara Allah mendidikku.. Bersabar, sabar dan sabar. Hanya satu yg aku takuti, dipersoalkan di akhirat nanti..
Dengan keyakinan dan kekuatan yang ada, pada hari maulidurrasul, aku kuatkan diri menggunakan tudung labuh buat kali pertamanya.. Banyak yang bermain di fikiranku.. Terasa terasing diri ini.. Alhamdulillah.. Semuanya ku hadapi dengan mengingati Allah.. Ya, benar.. hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang.. Ada yang menyindir, ada yg memuji, tidak kurang juga yang memandang sinis pada diriku..
Aku cuba kuatkan diri ini dengan mengingati perjuangan Rasulullah SAW, yang sememangnya di janjikan syurga, namun tetap bersabar menahan hinaan dan cacian dalam perjuangan dakwahnya.. Inikan pula aku, hanya hamba Allah yang hina.. Aku kena kuat dalam perjuangan dakwah pada diriku sendiri.. Subhanallah, Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah, untuk kekuatan ini..

Hari demi hari, aku semakin selesa.. Ada juga kawan-kawan yang bertanya, "Tak panas ke pakai labuh?" Aku hanya mampu tersenyum.. Kebiasaannya hanya gelengan kepala yang ku berikan.. Adapun jawapan, ayat ringkas ini yang ku berikan, "Yang terdedah itu laii panas".
Sebenarnya, ingin ku katakan, aku sanggup berpanas di dunia daripada merasa azab di akhirat sana.. Hanya doa yang ku kirimkan buat yang bertanya. Semoga dia juga merasai kemanisan hidayah ini..
"Sahabat, aku ingin engkau  turut bersamaku dalam penghijrahan ini. Sungguh, ku ingin kau turut bersamaku.." Doaku dalam diam
Kisah ini bukan hendak menunjukkan yang aku ini sudah sepenuhnya baik.. Masih banyak kekurangan yang perlu aku perbaiki dan masih banyak ilmu yang perlu aku pelajari.
"walau siapa pun kita di masa lalu, itu tidak bermakna kita tidak berhak untuk menjadi Muslimah yg baik. Jadikan masa lalu sebagai satu pengajaran yang membenihkan rasa keinsafan dan bukan satu alasan untuk tidak berubah.."
Sahabatku, bila terasa ingin berubah, mulakan langkah, jangan berlengah.. Niat boleh dipimpin.. tak perlu tunggu sampai seru, kita yang perlu mulakan dulu.. InsyaAllah, Allah pasti akan bantu.. Saat diri terasa lemah, ingat janji Allah.. Allah bersama kita sahabatku..
InsyaAllah, semoga kita semua mendapat hidayahNya sebelum mata terpejam buat selamanya.. Doakan agar diriku ini kuat dan sentiasa istiqamah dalam penghijrahan ini.. Aamiin.

Warna Kehidupan Jangan Dikeluhkan


Alhamdulillah, indah dan uniknya ciptaan Allah. Penuh dengan keperlbagaian dan variasi yang tersendiri. Pada setiap kejadian ada perbezaan dan persamaan yang tidak sama. Walaupun seakan kelihatan sama, namun tetap berbeza. Seperti seorang lelaki dengan lelaki yang lain.
Walau kejadiannya adalah sama, namun setiap lelaki tidak sama. Ada perbezaannya. Demikianlah juga perempuan dan seluruh makhluk yang diciptakanNya. Hatta pasangan kembar seiras juga tetap ada perbezaannya walaupun kelihatan sama.
Unik kan? Subhanallah... Agung sungguh ciptaan Allah. 
Cuba kita renungkan... seorang pereka fesyen, pereka grafik.. pada satu saat akan terasa berat memikirkan idea dan ilham mencari design-design yang terbaru. Kadang-kadang seakan mati akal mencari design yang pelbagai. Tidak mahu design yang sedang disiapkankan mempunyai kriteria yang sama dengan design yang terdahulu. Namun, Allah walau ciptaanNya tidak dapat dihitung lagi, tidak ada satu pun yang sama ciptaannya.

Buktinya, lihat sahaja ibu jari kita. Berjuta, berbilion manusia tidak ada seorang pun yang memiliki garis ibu jari yang serupa. Begitu jugalah Allah ciptakan manusia ini pelbagai ragam. Pelbagai sifat.. Pelbagai perangai..
.MasyaAllah, ajaibnya ciptaan Allah... Penuh dengan warna-warni dalam penciptaanNya.
Kehidupan dan Ujian
Kenapa perlu kita keluhkan..
''Aih... aku tak suka lah cam ni...aku tak suka lah dia tuh... dia tak buat macam ni''
"Aku geram lah dengan dia ni... Pinjam barang tak bagitahu dulu. Lepas tu jadikan hak milik pula"
Kenapa kita marah orang sesuka hati
'' Kau ni kenapa lambat sangat nak faham... kenapa kau macam ni..?''
" Engkau pergi mana tadi? Tahu tak aku dah lama tunggu kat sini?"
Mungkin kita pernah terlepas kata. Mengeluh dan memarahi tanpa usul periksa. Waktu itu, apa yang kita fikir hanya tentang diri kita sahaja. Kita utamakan perasaan kita. Lantas kita luahkan ketidak puasan hati kita. Kita mengeluh. Marah dan berlalu dengan muka masam mencuka.
Kenapa tidak kita nasihati jika sahabat itu melakukan kesalahan? Mengapa tidak kita tanamkan redha pada setiap ujian yang Allah berikan untuk kita? Bukankah setiap apa yang mendatang itu adalah ujian buat kita. Sama ada ujian itu berbentuk nikmat, apatah lagi berbentuk perkara yang tidak kita sukai dan senangi. Mengapa kita tidak muhasabah diri dulu sebelum memuhasabah, memarahi orang di hadapan kita?
Kita terlupa, saat itu sebenarnya Allah menguji keimanan kita. Kesabaran kita. Demikianlah kehidupan dan ujian yang hadir dalam hidup kita. Ujian juga adalah warna- warni yang mewarnai hidup kita. Dan warna warni inilah yang akan mencorakkan kehidupan kita. Jika kita mewarnakan kehidupan kita dengan warna gelap kehitaman, maka lakaran corak hidup kita tidak seindah yang di rasa. Begitu jugalah kehidupan kita, jika kita mewarnakan ia dengan pelbagai warna, maka kehidupan kita pasti menawan rasa.
Bukankah pelangi itu indahnya pada biasan warnanya yang pelbagai? Begitulah juga dengan kehidupan. Jika kehidupan itu diwarnakan dengan pelbagai warna, maka keindahan itulah yang dapat nikmati. 

''Dengan Mengingati Allah Jiwa Akan Menjadi Tenang"'
Kadangkala kita terlepas pandang. Apabila ditimpa musibah, kita mendahulukan manusia dari Allah. Sedangkan musibah itu datangnya dari Allah. Maka, mengapa manusia yang perlu didahulukan. Adakah kita lupa tentangnya..???
Istighfarlah sahabat.. Kadang kala hadirnya musibah itu kerana berpunca dari diri kita sendiri. Musnahnya kehidupan flora dan fauna bukan dari sesiapa, tetapi puncanya dari tangan-tangan manusia. Banjir kilat, tanah runtuh, dan pelbagai lagi ujian alam  yang menduga adalah kita pemulanya. Maka, jangan mengeluh jika musibah itu beralih arah kepada diri kita sendiri. Kerana itulah perlunya beristighfar, memohon keampunan kepada Tuhan agar diampunkan segala kekhilafan dan keterlanjuran diri. 
Demikianlah jika ada sahabat-sahabat kita yang membuatkan kita tidak senang dengan sesuatu perkara. Jangan mengeluh dan marah sesuka hati. Mungkin saja ianya sebagai asbab diri kita sendiri. Sebelum kita menuding jari kepada orang di hadapan kita, dahulukanlah menuding jari ke arah diri sendiri.
Jangan juga dipinta seseorang mengikuti kehendak kita sedangkan tahap dirinya tidak tercapai. Tidak termampu olehnya. Mungkin ada sebab sesuatu yang kita tidak tahu mengapa dan kenapa demikian hal yang berlaku. Yang penting, mohonlah keampunan kepada Allah, dan pintalah moga Allah jauhkan kita dari sifat amarah. Sesungguhnya amarah itu adalah dari syaitan dan syaitan itu adalah dari api.
Ayuh muhasabah.. Jangan dikeluhkan ujian yang Allah berikan. Didiklah diri agar bersabar sentiasa dan hiasi hati itu dengan keindahan bersangka baik. Sesungguhnya itulah ciri-ciri mukmin yang membahagiakan dan menyenangkan orang lain. Barangsiapa yang baik akhlaknya di dalam muamalatnya pasti akan dimuliakan oleh orang lain. InsyaAllah~


Wahai sahabat... Cuba kita renungkan bersama. Jika semua orang ragamnya adalah sama sahaja dengan kita.. Apakah akan terjadi dengan kehidupan kita...????
Bosan bukan? Tapi mengapa..??
Kerana tiadanya warna -warni (ujian) yang mewanai kehidupan kita. Kehidupan yang penuh dengan warna warni pasti indah seterusnya akan memberi keindahan dan kebaikan pada sekeping hati (iman). Iman itu jika tiada musibah atau ujian, maka sifatnya hanya mendatar dan mungkin saja akan menurun selayaknya. Namun, sekiranya iman itu dihadirkan dengan ujian dan cabaran, maka iman itu akan meningkat sesuai dengan tahap iman yang ada. Semakin iman itu mantap, maka semakin hebatlah pula ujian yang mewarnainya.
Yakinilah janji Allah bahawa setiap apa yang Dia rencanakan tetap punyai hikmahnya.
Maka, Usah dikeluhkan ujian pada sebuah kehidupan. 

28 September 2012

Bertemu cinta Dalam CINTA


Arafah. Padang yang menyaksikan sejarah cinta sulung Adam dan Hawa bertemu.
Mewarisi ujian cinta di padang pasir, Ibrahim meninggalkan teman setianya Hajar dan buah hatinya, Ismail semata kerana Yang Esa. Sekilas wajah Yusuf, bertaut tulus cintanya Zulaikha beralih kepada Cinta Yang Maha Sempurna.
Tatkala Kerajaan Cinta antara Sulaiman dan Balqis bersemi dek Cinta Yang Memiliki Kerajaan langit dan bumi turut bersatu. Terpateri Cinta Agung Muhammad  cintanya untuk isteri dan ummat yang dikasihi, meresap ke dalam hati-hati sehingga tiba belabuh ke hati. Demikianlah sekeping hati setiap insan sehingga ke hari ini tidak pernah kering menerima warisan cinta itu.
Subhanallah... Madah cinta itu sungguh seni dan puitis.. Kehadiran cinta yang semenjaknya di syurga mana mungkin boleh ditolak oleh hati sedangkan ia adalah kurniaan Ilahi, anugerahnya kepada hambaNya untuk menyempurnakan fitrah kejadian insani.
Fitrah ingin dicintai dan mencintai. Andai hati ini tidak meminta untuk melintasinya, atau sekalipun membungkam seribu doa, malah mengalihkan pandangan, dan mengunci bicara, ia tetap ada, wujudnya sedia di batas hati setiap jiwa. Kadangkala tanpa sedar, tanpa paksaan ia hadir.
Adakah ini cinta? Tunggu sekejap! Wahai hati yang hidup dengan suluhan iman...Berhati-hati, jangan tertipu oleh penipu profesional iaitu nafsu dan bisikan syaitan! Keluarkan senjatamu.. DOA. Ya itulah senjata mukmin. Maka berdoalah!
"Ya Allah, aku berlindung kepada kalimatMu yang sempurna, dari apapun kejahatan yang Engkau ciptakan." -Amin Ya Rabb-
Seutama-utama cinta itu adalah Allah. Dia Yang menciptakan Cinta, maka cintanya adalah yang pertama dan utama.  Dialah yang selayaknya dicintai. Allah pasti membalas cinta itu dengan sifatnya Yang Maha Mengasihi.
Hingga hujung nyawa,
Aku tetap ingin menjadi pencintaMU,
Inginku isi rongga-rongga rindu ini,
Dengan madu cinta Pencipta Cinta,
Setiap hela nafas mengalir suci namaMU,
Tersemat utuh di hati tanpa noda,
Sucinya bersih menghiasi qalbu,
Penyuluh hidup, pengukir bahagia,
Tanpanya tiadalah segalanya,
Hingga hujung nyawa,
Ku ingin tetap bersama cintaMU.

Cinta itu hakikatnya suci, kadangkala menguji hati seperti Saidina Ali dan Az-Zahra. Adanya sabar dan tabah menyulami iman menterjemahkan kesetiaan di batas waktu yang menjadi rahsia Allah. Dalam memilih cinta, ajaran nabi jadi garis panduannya. Perlu bijaksana meletak prioriti cinta antara terutama dan utama.
Cita-cita jadi mahar cinta. Harapan disampaikan melalui doa, memohon pilihanNya dalam sejadah istikharah, musyawarah menetapkan kematangan dari yang berpengalaman, restu penjaga diri tulus dipinta. Jangan dinoda oleh serakah jiwa yang lemah. Jujur pada pendirian yang tidah tergugah.
Bijak mengurus, mengawal dan menterjemah dalam bimbingan PEMILIK HATI juga perlu di ambil peduli. Meng'upgrade' diri menjadi soleh atau solehah bukan kerana si dia, tetapi berusaha menjadi soleh dan solehah semata kerana DIA. Ikhlas dan tawakal pada pilihanNYA bukti pergantungan diri mensyukuri ketetapanNya. Bila dan siapa jodoh itu, pasti bertemu cinta di Arafah RahsiaNya, kerana empunya diri yakin pada janjiNya.
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula).... "
(Surah an-Nur ayat 26)
Taqwallah dan tulus iktikad demi REDHANYA pasti melestari ikatan ke Taj mahal Abadi.
Duhai manusia yang menyakini,
Teruslah mengemudi pelayaran dalam mengabdi dan membangun diri serta agamamu,
Usah dirimu sibuk menoleh dunia mencari raja atau permaisuri hatimu,
Masih banyak amanah dan tanggungjawab yang dikau galas,
Dunia ini hanyalah sementara,
Di sisi Tuhanmu ada yang lebih baik.
Duhai Manusia Yang Paling Bahagia,
Bukankah pergantunganmu sudah dikau letakkan kepada yang tidak akan buat dirimu kecewa,
Jika ya, usah bazirkan masamu tanpa berkhidmat kepada TuhanMu,
Bertemanlah dengan kesabaran kerana Tuhan Yang Satu,
Dia mengawasi dan menunjukimu setiap waktu,
Kerana janjiNya, bahawa Dia bersama orang yang sabar.
Duhai Manusia Yang Memiliki Ketenangan,
Hadapilah kenyataan dengan penuh keredhaan,
Dia Yang Maha Mengetahui ketetapan terbaik buatmu,
Dikau kan bahagia dengan mengingatiNya,
Kerana Dia memberikan cintaNya padamu
Bertemu cinta manusia
Dalam CINTA Agung di sisiNya.
InsyaAllah...
Bertemu cinta dalam CINTA akan kekal bahagia!

::Dunia Pertama Akhirat Utama::

Riak muka melambangkan reaksinya. Serba tidak kena. Seperti banyak yang ingin diluahkan.
"Kadang-kadang aku peliklah". Katanya, ringkas.
"Kenapa?"
"Orang kita ni, senang betul nak berjaga malam. Tapi bukan untuk buat qiamullail, tapi berjaga malam untuk tengok bola."
Aku tersentap. Tak sangka juga dia berkeinginan untuk memperkatakan sedemikian, kerana dia juga antara peminat fanatik bola sepak. Aku meneguk semula air teh ais yang dibeli.
"Hmm, betul juga cakap kau, masyarakat sekarang ni kurang kesedaran untuk buat qiamullail. Ramai yang memilih dunia, berbanding akhirat. Padahal qiamullail hanya mengambil masa dalam 20-30 minit sahaja, itupun sekiranya melakukan banyak solat sunat. Kalau buat tahajud sahaja, dalam 5 minit dah habis. Tapi, ramai yang memilih untuk berjaga, dan memperhambakan diri di hadapan televisyen, selama 90 minit."
Bukan bermaksud menghalang, tetapi rebutlah ganjaran pahala.
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji"
(Suarh al-Israa' ayat 79)
Di Mana Datangnya Keikhlasan?
Suasana sepi. Seperti biasa.
"Mana jemaah kat surau ni? Subuh bukan masuk awal ke, takkan jam aku rosak lagi."
Azan dikumandangkan. Setelah 20 minit menunggu, hadir juga hamba-hamba Allah yang terpilih, dan dibukakan hati untuk datang berjemaah di surau. 3 orang semuanya.
Keesokan hari, berbeza daripada sebelumnya. Terdapat penceramah yang hadir untuk memberi kuliah subuh, yang bertajuk 'Cinta'. Jemaah yang hadir ke surau, lebih kurang 30 orang.
"Eh, jom pergi subuh, hari ni ada kuliah subuh, aku dengar ustaz ni hensem, berkerjaya lagi. Dia ni hebat dalam berhujah, tak rugi rasanya kita pergi subuh hari ni," kata salah seorang sahabat.
"Laa, semalam masa tak ada ceramah, tak nak pula kau pergi subuh."
"Hmm, semalam aku ngantuk la, hehe". Katanya sambil memberikan senyuman sinis.
Tidak salah untuk kita hadir dalam kuliah subuh, maghrib dan sebagainya. Malah, ianya dituntut dalam Islam, apabila kita menghadiri majlis ilmu.
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, iaitu kitab peringatan orang-orang yang lalai, oleh Al Fakih Abu Laits As-Samarqandi iaitu seorang ulama' salaf, diterangkan mengenai 7 kelebihan orang yang menghadiri majlis ilmu, sekiranya tidak mampu untuk mengingati atau menghafal pelajaran tersebut. Antaranya diampunkan dosa-dosa dan malaikat menaungi penuntut ilmu dengan melebarkan sayap mereka.

Tetapi, sekiranya kita mampu untuk menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh hamba Allah sendiri, pada waktu subuh terutamanya, maka, mengapa begitu berat untuk kita menghadiri jemaah Subuh di surau tiap-tiap hari, untuk mengadap Allah? Adakah kita hanya perlu hadir ke surau sekiranya terdapat majlis-majlis ilmu?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi ikhlaskanlah amalan ibadah.
"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk"
(Surah at-Taubah' ayat 18)
Alah Bisa Tegal Biasa
Jam menunjukkan pukul 10.20 pagi. Ramai yang berpusu-pusu keluar ari kelas, untuk ke kantin.
"Eh, aku nak pergi surau kejap, nak buat solat dhuha, kau nak ikut?"
"Hmm, taku takutlah,  nanti kalau lambat nak pergi kantin, habis pula kuih kesukaan aku tu."
"Laa, tak sampai 5 minit pun, banyak lagi kuih tu, kalau dah ditentukan Allah yang tu rezeki kau, mesti ada punya."
"Hehe, tak pe la kot, gerak dulu." Katanya sambil berjalan menuju ke kantin.
Perkara sunat ini begitu dipandang enteng dalam kalangan masyarakat kita saban hari. Sungguhpun ia hanya solat sunat, ia sangat dituntut dalam Islam untuk melakukannya.
Sekiranya kita mampu untuk menghabiskan masa selama hampir 20 minit, untuk santapan fizikal, mengapa begitu payah untuk kita menghabiskan masa hanya 5 minit sahaja, untuk santapan rohani?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi perbanyakkanlah yang sunat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Abu Hurairah berkata; Kekasihku Rasulullah SAW berwasiat kepadaku dengan puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Duha dua rakaat dan melakukan witir sebelum tidur."
(Hadis Muttafaq 'Alaih)
Mana Satu Menjadi Keutamaan?
Cuti sekolah sememangnya amat diminati, samada pelajar mahupun guru. Masa yang begitu lapang digunakan sebaik-baiknya.
Sebuah 'status' di Facebook ditulis oleh seorang sahabat.
"Saya baru beli novel ni tiga hari lepas, dalam 604 muka surat. Seronok sangat novel ni, pasal perjuangan seorang lelaki untuk menegakkan cintanya terhadap seorang wanita. Dah habis baca, saya ingat nak bagi awak pinjam, tak rugi kalau baca."
Terbitnya bibit-bibit keinsafan, setelah membaca status itu. "Hmm, kalau novel setebal 604 muka surat mampu dibaca dalam masa tiga hari sahaja, mesti Al-Quran yang setebal 604 muka surat juga, mampu dihabiskan dalam masa tiga hari juga, kan?"
Kurangnya kesedaran dalam kalangan kita. Mudah sahaja kita menghabiskan novel atau majalah dalam masa yang singkat, tetapi begitu sukar untuk kita menghabiskan masa untuk membaca Al-Quran, sungguhpun satu muka surat.

Tiada salahnya untuk membaca novel, tetapi janganlah sehingga terlalu alpa, sehingga kita lupa membaca sebuah lagi novel yang agung, iaitu Al-Quran.
Bukan bermaksud menghalang, tetapi seimbangkanlah dunia dan akhirat.
Masih Belum Terlambat
Tidak ada istilah 'aku sudah terlambat' di dalam Islam, melainkan setelah kita mati. Pada ketika itu, tiada gunanya kita merayu kepada Allah, untuk diminta kembali semula ke dunia. Kini kita berada di alam dunia, alam yang ketiga selepas kita berada di alam janin dan alam roh. Barulah diikuti dengan alam kubur dan alam akhirat. Antara dunia dan akhirat, kita bertemu alam dunia dahulu (pertama) namun, walau pun kita bertemu dengan dunia dahulu (pertama) jadikanlah akhirat itu utama. 
Kita masih mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik. Jadilah hamba Allah yang bersyukur. Janganlah sampai kita tidak lagi diberi hidayah oleh Allah, sehingga kita dibiarkan sahaja hanyut dengan nikmat dunia. Maka pada ketika itu, kitalah hambaNya yang paling rugi.