22 September 2013

Cantik PALSU atau ASLI??

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh :)

Alhamdulillah, Segala Puji-Pujian di panjatkan ke hadrat Ilahi
kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kita bersama-sama melakukan
sesuatu yang bermanfaat di dalam setiap ibadah yang kita lakukan kerana Allah. Insya-Allah.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد
Alhamdulillah, Apa khabar saudara saudari yang di kasihi kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Alhamdulillah, moga berada di dalam rahmat Allah selalu, Insya-Allah.

                                       
Kecantikan sinonim dengan wanita, bila sebut "cantik" pastinya kita akan menggambarkan wanita yang berwajah cantik, bertubuh langsing dan sebagainya.
Pasti ramai juga antara kita yang pernah melihat iklan produk kosmetik tak kiralah di televisyen, di dalam akhbar, majalah dan sebagainya menggunakan kata-kata seperti ini:
ANDA INGIN MEMILIKI WAJAH YANG CANTIK
LAGI MEMPERSONAKAN?
ANDA MAHU WARNA KULIT ANDA PUTIH MELEPAK?
DAN ANDA MAHU TUBUH YANG LANGSING?
Cikgu IT ana, ada berkata.."Apabila iklan di televisyen cuba kamu jangan tengok" Motif??
Pastinya ia mempengaruhi minda.

Ini salah satu "kreativiti" pengeluar bagaimana untuk menarik pengguna menggunakan produk mereka.
Memang bagi wanita, kecantikan itu amat penting. Lalu ramai wanita menggunakan kosmetik seperti bedak, gincu, dan sebagainya. Bahkan sekarang, si gadis sunti dan remaja tidak turut ketinggalan menggunakannya. Sebab bagi mereka "BEAUTIFUL IS NUMBER ONE"

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan"
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Para pengguna harus sedar, sesetengah produk kosmetik itu ada bahayanya. Ada sesetengah kosmetik di perbuat daripada bahan-bahan yang tidak selamat dan tidak sesuai campurannya! Kosmetik yang berbahaya itu jika dipakai pastilah merugikan si pemakainya. Hasrat agar di lihat cantik mungkin menimbulkan penyakit pada kulit. Pengguna kosmetik khususnya, pasti sudah bijak, bijak sahaja tidak cukup, ramai juga yang menggunakan bahan-bahan yang haram, contohnya seperti  Botox. Produk-produk berbahaya itu antaranya mengandungi toksin dari bakteria "Clostridium Botulinum." Toksin ini di suntik ke tubuh manusia dengan pelarut dari bahan plasenta haiwan atau manusia. Plasenta haiwan yang digunakan itu biasanya dari apa sahaja jenis haiwan.

Nah! Untuk lebih selamat, gunalah kosmetik yang diperbuat dari bahan-bahan asli atau herba. Untuk memutihkan kulit misalnya, boleh memanfaatkan limau nipis yang sangat bagus untuk kesihatan kulit. Untuk menghitamkan rambut, bolehlah manfaatkan tumbuhan lidah buaya dan sebagainya. Untuk mencantikkan diri bolehlah digunakan beberapa jenis tumbuhan seperti sayur-sayuran  mentimun, tomato, lobak merah, kentang dan sebagainya. Dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, bahkan dapat menjamin kecantikan dan kesihatan badan. Insya-Allah.
                                  
Kecantikan sebenar itu tidak diukur pada yang zahir sahaja, bahkan kecantikan dalaman atau Inner beauty amat penting sekali. Hal ini boleh di bina melalui pelbagai faktor, salah satunya menjaga keperibadian diri. Asasnya "percantikkanlah diri dari dalam hati." 
Jika cantik secara zahir boleh di lihat menerusi cermin, tetapi kecantikan dalaman itu tidak. Kecantikan dalaman ini, tercermin menerusi kelembutan dalam tutur kata, kesopanan, cermat dalam pergaulan bahkan lebih kepada sifat-sifat terpuji.
                                

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
"Jika seketul daging itu baik maka baiklah seluruh jasadnya
dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. 
Ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pastinya kecantikan yang terserlah secara semulajadi tanpa menggunakan kosmetik lebih tahan lamanya, dari menggunakan kosmetik. Insya-Allah.


                                         

01 Mei 2013

Nikmat Kesihatan


Rabbi Yassir Wa'la Tu'assir Rabbi Tammim Bil Khair
::YA ALLAH PERMUDAHKANLAH JANGAN DIPERSULITKAN 
YA ALLAH SEMPURNAKANLAH DENGAN KEBAIKAN::

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh :)
Alhamdulillah, Segala Puji Hanya Bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan tercinta, ahli keluarga serta sahabat baginda.

 Wahai hamba Allah, Apa khabar? Alhamdulillah, mudah-mudahan iman bertambah cantik, kesihatan bertambah baik. Insya-Allah. Moga berada dalam rahmat Allah. Insya-Allah


Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada dua nikmat yang sering di lupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Alhamdulillah, sudah tiga hari, nikmat sihat itu di tarik, di uji dengan sakit. Syukur Alhamdulillah. Itu baru  tiga hari, bagaimana pula dengan orang yang bertahun-tahun melawan kesakitan, dan ada pula yang di khabarkan oleh doktor, tiada harapan untuk sembuh. Allah, biarpun ia suatu ujian yang cukup besar, tetapi ia juga suatu keberuntungan bagi orang yang sakit.
Ya suatu keberuntungan. Mengapa?
Di angkat darjat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dari Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang  kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya." (HR at-Tirmizi)

Hidup sihat adalah kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sering lupa kita syukuri, namun setiap saat kita menikmatinya. Biasanya kalau kita merasa sakit sedikit sahaja, itupun sudah mengeluh secara berlebihan. Namun, tatkala merasa sihat, kita lupa untuk bersyukur kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah banyak memberikan kurnia kepada kita, tapi kebanyakan kita tidak menyedarinya.
Apabila kita mahu merenungkan, betapa kesihatan merupakan salah satu nikmat, dan ini adalah nikmat terbesar sesudah iman. Sihat memang bukan segala-galanya, namun kalau tidak sihat, kita sakit, maka segalanya akan kehilangan makna. Pada saat kita masih mampu bernafas dan menghembuskannya, pernahkah kita mensyukurinya?

Apabila kita menghidap penyakit di saluran pernafasan, tentunya pernafasan kita akan terganggu.  Jadi menghembus dan menarik nafas adalah suatu nikmat yang besar, kerana dengan tarikan dan hembusan nafas itulah umur kita akan di panjangkan atau sebaliknya, dengan berhentinya kita menarik dan menghembuskan nafas, bererti umur kita juga akan berakhir. Maka dari itu, selama kita masih boleh bernafas, kita ucaplah ALHAMDULILLAH dengan begitu oksigen yang kita serap akan membawa berkat. Insya-Allah
Begitu pula,  ketika mata dan telinga kita masih boleh berfungsi untuk melihat dan mendengar, ucaplah Alhamdulillah, dengan nikmat yang di kurniakan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita.
Kalau kita tidak mensyukuri nikmat kesihatan ini, maka kita akan cenderung menyalahgunakan fungsi nikmat yang di berikan. Bersamalah kita manfaatkan nikmat kesihatan ini dengan hal-hal yang positif.
 "SESEORANG ITU SIHAT JIWANYA SEKIRANYA DIA DAPAT BERSYUKUR DAN PANDAI BERSYUKUR."
Dari Suhaib r.a, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaannya  pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya." (HR Muslim)

Marilah kita menjadi hamba-hamba Allah yang tahu mensyukuri nikmat dan kurnia-Nya yang telah di berikan kepada kita. Insya-Allah.

Ya Allah sihatkanlah badanku, Ya Allah sihatkalah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku. Aamiin Ya Rabbal'Alamin



20 Februari 2013

::Seni Berumahtangga::


"Rabbi-'shrah li sadri wa yassirli amri wa-hlul 'uqdatan min lisani yafqahu qawli."
Assalamu'alaikum w.b.t ^_^ , 
Segala Pujian Hanya Untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala, Selawat serta salam buat Nabi s.a.w. ahli keluarga dan sahabat baginda sekelian.
 Wahai sahabat apa khabar iman dan niatmu ketika ini, masihkah ada Allah di hatimu, In shaa Allah.. mudah-mudahan imanmu bertambah kuat, keyakinanmu bertambah mantap, dan terus istiqamah.
Alhamdulillah, walaupun diri ini tidak berapa sihat, tetapi syukur nikmat yang lain masih sihat. 
"Fokus pada kurniaan Allah bukan pada kesakitan itu semata-mata"

>>Entry kali ini ana ingin berkongsi catatan mengenai seni berumahtangga, walaupun ana masih belum berkahwin, tetapi insyaa Allah tidak lama lagi ^^ masing-masing mempersiapkan diri, insyaa Allah.<<
::Diriwayatkan dari Anas r.a, katanya,
"Sesungguhnya beberapa orang sahabat Nabi s.a.w
Apakah amalan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w yang tidak di ketahui oleh mereka.
Ada diantara sahabat yang memberitahu bahawa mereka tidak mahu berkahwin. Ada yang kata mereka tidak makan daging. Ada juga yang menyatakan mereka tidak pernah tidur di atas hamparan.
Sebaik saja mendengar perkara itu Nabi s.a.w memuji Allah dan bersabda,"Apa kena dengan mereka. Mereka berbicara tentang itu dan ini. Sesungguhnya aku mendirikan solat, tidur. Aku berpuasa, berbuka dan berkahwin. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, dia bukan daripada golonganku (umatku)." 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai dan Ahmad) 
                                    Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan  kebahagiaan dalam berumahtangga. Insyaa Allah impian itu akan dapat dicapai jika mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.
   1.  Kita perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal. Ianya selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."

      2. Kita perlu menyedari bahawa perkahwinan kita dengan orang yang di kasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tanpa restu dan izin dari yang Maha Esa, perkahwinan kita dengan pasangan tidak mungkin terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah kita untuk ke arah itu. Kita perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan  kita terletak di tangan-Nya, dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa yang di kehendaki-Nya. Sebagai seorang yang beriman kepada qada' dan qadar-Nya, kita hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh kita dengan pasangan berpanjangan hingga ke akhir hayat. Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

    3.   Perkahwinan menciptakan hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab suami ialah memberi nafkah zahir dan batin, mendidik isteri dan anak-anak, berlaku baik terhadap mereka dan sebagainya. Manakala tanggungjawab isteri pula taat pada suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan hukum syarak, memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan sebaginya. Melaksanakan tanggungjawab ini bukan sekadar menggembirakan hati pasangan sahaja, sebaliknya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

    4. Sebagai seorang mukmin, sama ada lelaki atau perempuan, kita hendaklah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud: 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Oleh itu kita mestilah memahami kedudukan kita disisi pasangan. Kita bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, ibu bapa jatuh ditempat kedua, kemudian barulah isteri dan keluarga sebelah isterinya. Sementara bagi isteri pula, suami ditempat kedua selepas Allah dan Rasul-Nya, kemudian baru ibu bapa kandungnya.
    5.   Kita harus ingat, pasangan kita adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Kita juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan kita melakukan kesilapan janganlah terlalu diperbesarkan atau dihitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafkan.

     6. Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian  bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk melindungi diri daripada hujan dan panas, begitulah pentingnya kita kepada pasangan. Sebagai pakaian kita diperlukan setiap masa oleh pasangan untuk menutup keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Kita perlu menjadikan diri kita sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.

7. Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara kita dan pasangan  sebelum perkahwinan. Ijab kabul bukan sahaja menjadikan kita sah sebagai suami isteri, malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan. Kasih sayang bukan sahaja berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.  
     8.  Kita perlulah beradab ketika pertemuan kali pertama dengan pasangan. Suami hendaklah memberi salam  kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri  sambil berdoa dengan maksud:
"Wahai Tuhanku aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu, pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan dan dijauhkan kejahatan. Dan jika pasangan hendak bersama bacalah doa yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau akan anugerahkan kepada kami."

9.  Saling memaafkan antara satu sama lain. Bak kata pepatah "sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri." Maka apabila berlaku perselisihan faham janganlah diperbesarkan. Jika suami marah seeloknya si isteri berdiam, dan jika sebaliknya giliran suami pula mendiamkan diri. Hidup yang saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahkan seri dalam rumah tangga. Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diberikan ujian akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar memudahkan usaha setiap individu dalam melayari kehidupan berumahtangga. 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
"SESEORANG AKAN MENJADI HAMBA KEPADA APA-APA YANG DICINTAINYA."
(Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapat kemanisan iman, iaitu
Allah dan Rasul-Nya lebih di cintai daripada selain kedua-duanya, serta memcintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


17 Februari 2013

_Hanya Kerana Rahmat Allah_




"Rabbi-'shrah li sadri wa yassirli amri wa-hlul 'uqdatan min lisani yafqahu qawli."
Assalamu'alaikum w.b.t ^_^ , 
Segala Pujian Hanya Untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala, Selawat serta salam buat Nabi s.a.w. ahli keluarga dan sahabat baginda sekelian.
 Wahai sahabat apa khabar iman dan niatmu ketika ini, masihkah ada Allah di hatimu, In shaa Allah.. mudah-mudahan imanmu bertambah kuat, keyakinanmu bertambah mantap.                                        




Jika kita rasa ada halangan ketika dapat melakukan maksiat, BERSYUKURLAH. Jika kita pernah merancang untuk melakukan dosa, tetapi kemudian ada kesulitan atau halangan untuk kita melakukannya maka BERISTIGHFARLAH, dan BRSYUKUR  kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jika pernah di bentangkan di hadapan kita kesempatan melakukan dosa itu dengan alasan apa pun, TERSUNGKURLAH, SUJUDLAH, dan PUJILAH ALLAH kerana KASIH SAYANG-NYA. Mohonlah KEAMPUNAN daripada-Nya kerana semua itu adalah semata-mata kerana rahmat atau kasih sayang Allah Subhanahu wa Ta'ala. PINTALAH AGAR KASIH SAYANG-NYA ITU TIDAK PERNAH MENINGGALKAN KITA, BUAT SELAMA-LAMANYA.

...SAHABATKU...
Ada pelbagai jenis dosa dan maksiat yang dapat kita lakukan. Mungkin dengan perbuatan anggota tubuh, termasuk maksiat dalam ucapan. Juga maksiat jiwa dan hati, yang biasanya sukar di kesan dan payah dirasakan. Dosa berburuk sangka pada orang lain, dosa menanam dendam dan kebencian, dosa lintasan fikiran untuk melakukan maksiat dan dosa kecil yang dapat membawa kepada dosa besar. Tanpa kasih sayang Allah yang menghalang kita dari melakukan dosa, pasti banyak sekali urutan dosa yang sudah kita lakukan.
...SAHABATKU...
Sifat kasih sayang Allah itu sebenarnya sudah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis Qudsi bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: 
"Aku sebagaimana prasangka hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya selama ia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatinya di dalam diri-Ku, jika ia menyebut-Ku di hadapan manusia, maka Aku pun akan menyebutnya di hadapan makhluk yang lebih baik daripada mereka. Jika ia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sejauh satu hasta, jika ia mendekati-Ku satu hasta, maka Aku akan mendekatinya sepanjang satu depa, jika ia mendekati-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendekatinya dengan berlari-lari kecil."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

...SAHABATKU...
Allah Subhanahu wa Ta'ala Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Sudah berapa banyak maksiat dan dosa yang kita lakukan bila tanpa kedekatan, kecintaan, dan pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala??? Sudah setinggi mana tompokkan dosa yang sudah kita lakukan tanpa kehadiran Allah Subhanahu wa Ta'ala yang menjaga kita sehingga kita tidak melakukan maksiat, dosa yang sangat mungkin kita lakukan???
Dalam keadaan kita yang sentiasa lalai  dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam keadaan yang sering melakukan maksiat dan dosa, masih ada orang yang beri hormat. Padahal, kita tahu itu merupakan penghormatan yang tidak beralasan. Pemuliaan yang tidak kena pada tempatnya. Kekaguman yang hanya membuahkan rasa cemas kerana tidak sesuai dengan keadaan yang hanya diketahui oleh diri sendiri. Kerana hanya diri sendiri yang mampu meraba, ada banyak dosa yang tidak ditutupi dan diketahui oleh orang lain.

...SAHABATKU...
Selama jiwa kita bersih, maka jiwa kita akan sensitif tentang keadaannya. Ia dapat bersifat seperti cermin, sehingga kita mampu memperolehi informasi yang benar tentang keadaaan hati. Jika jiwa ini belum kusam oleh debu, ia akan memberikan informasi yang jujur tentang diri sendiri. Semoga hati kita masih boleh berfungsi memberi informasi yang benar dan jujur tentang diri sendiri.
Menurut Ibnu Qayyim r.a dalam Al Waabil Ash-Shaib, kejujuran yang datang ketika kita memeriksa kekurangan dalam diri akan menimbulkan sikap terhina di hadapan Allah Subhanahu wa Ta'ala. "Memeriksa kekurangan jiwa dan kekurangan dalam beramal, pasti akan menimbulkan rasa rendah, rasa tidak berdaya, rasa sangat memerlukan sikap taubat setiap waktu. Seseorang akan selalu memandang diri adalah yang rugi dan tidak memiliki apa-apa. Sedangkan pintu paling dekat seorang hamba kepada Allah adalah ketika ia merasakan al-iflas, rasa sama sekali tidak berdaya di mana ia tidak memandang dirinya memiliki apa pun yang dapat di jadikan sandaran dan tempat bergantung."

Ibnu Qayyim meneruskan, "Ubudiyah (penghambaan) berputar pada dua prinsip utama, iaitu hubbun  kamil (kecintaan sepenuhnya) dan dzillun tamm (kehinaan sempurna). Dua hal inilah yang akan menimbulkan sikap menyedari nikmat sehingga membuahkan cinta dan sikap selalu memerhatikan aib dan kekurangan diri."
Ibnu Qayyim menambah lagi "Jika seorang hamba telah dapat melandasi hubungannya dengan Allah di atasdua prinsip ini, maka musuh tak akan mampu menakhluknya, kecuali sangat sedikit. Ia akan cepat di bangkitkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan tersedar dengan rahmat-Nya. Sekejap sahaja ia berpaling, akan terasa kerugian yang besar  yang takkan terbayar, kecuali kembali kepada Allah dan merasakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala..."


...SAHABATKU...
Marilah tunduk setunduk-tunduknya di hadapan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mari tanam dan rawat cinta kepada-Nya agar ia semakin kuat dan semakin dalam supaya tiada yang mampu mengalahkan dan menyimpangkan kita, agar kita dapat menjemput rahmat-Nya, rahmat yang sungguh luar biasa, rahmat yang membawa kita segera tersedar dari bencana kemaksiatan yang menghancurkan, rahmat yang menyelamatkan kita dari keadaan yang dapat membunuh dan menghilangkan segala nikmat yang telah ada.



13 Februari 2013

Kuthbah Terakhir Rasulullah S.A.W.




Khutbah terakhir ini disampaikan baginda pada 9 Zulhijjah Tahun Ke 10 Hijrah. Di Lembah Uranah, Arafah. Oleh itu, marilah kita renungi khutbah tersebut yang merupakan khutbah terakhir Rasulullah S.A.W.






"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
             Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
             Janganlah kamu menyakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya kepada perkara-perkara kecil.
             Wahai mausia, sebagaimana kamu mempunyai hak terhadap isteri kamu mereka juga mempunyai hak terhadap kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka terhadap kamu maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, beremah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu terhadap mereka ialah mereka sama sekali tidak memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
             Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali taqwa dan beramal soleh.
             Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan terhadap segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
             Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah,bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba-Mu".    

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor



11 Februari 2013

Hari Yang Penuh Berkat



Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak lapan dirham dalam saku gamisnya,
Rasulallah s.a.w pergi ke pasar untuk membeli keperluan hariannya. Dalam perjalanan, baginda berjumpa dengan seorang perempuan dalam lingkungan umur lebih kurang empat puluh tahun. Perempuan itu sedang duduk di tepi jalan sambil menangis tersedu-sedu, disisinya terletak sebuah bakul kosong. Amat terharu hati Rasulallah melihat keadaan perempuan itu. Kerana rasa ingin tahu keadaan wanita itu, maka Rasulallah bertanya:
"kenapa engkau menangis?" perempuan itu, menghapus air matanya dan menatap wajah orang yang menegurnya, tetapi tidak dapat mengenalinya. "Ss...ss...sss.. saya takut, tuan!" jawab perempuan itu sambil menahan isak tangisnya. "Apa yang engkau takutkan?" tanya Rasulallah. "Sss..ss..ssa..saya di..di...dis..suruh oleh tuan saya berbelanja ke pasar. Tetapi wang untuk berbelanja itu telah hilang entah dimana, telah saya usahakan untuk mencari, namun tidak berjumpa!" jelas perempuan itu.

"OOOww, jadi engkau menangis kerana kehilangan wang?" "Benar, tuan! betapa tidak, saya ini adalah seorang hamba abdi. Kalau saya pulang ke rumah tuan saya, tanpa membawa barang belanjaan, tentu tuan saya akan memarahi saya. Ujar perempuan itu, sambil menahan isak tangisnya. "Berapa wang kamu yang hilang itu?" "Dd..ddu..ddua..ddir..dir....ham, tuan!" Tanpa berfikir panjang, Rasulallah mengeluarkan wang sebanyak dua dirham dari saku gamisnya dan memberikannya kepada perempuan itu. Kemudian, baginda menyuruh perempuan itu berbelanja ke pasar. Perempuan itu menerima pemberian Rasulallah sambil mengucapkan terima kasih, lantas perempuan itu pun pergilah ke pasar. Selepas memberikan wangnya kepada perempuan itu, Rasulallah bersyukur kepada Allah, dalam keadaan yang demikian, baginda dapat memberi bantuan kepada yang memerlukan.

Setelah itu, Rasulallah pergi ke pasar, baginda amat tertarik dengan penjual kain, yang menjajakan jualannya yang terdiri daripada pelbagai jenis pakaian. Baginda membeli sehelai gamis, kerana gamisnya terlalu usang dan banyak bertampal. Kemudian, Rasulallah terus memakai baju yang baru dibelinya itu, manakala baju yang usang itu di bungkus dan dibawanya balik. Tetapi, baru saja Rasulallah keluar dari pasar baginda berjumpa seorang pengemis tua yang sentiasa menadah tangannya, kepada siapa saja yang lalu lalang disitu. Tubuhnya hampir bertelanjang  kerana pakaian yang dipakainya sudah terkoyak, dengan badannya yang kurus kering dan janggutnya panjang tidak terurus.

"Sedekah tuan! sedekahkanlah baju buruk tuan itu kepada hamba!" kata pengemis itu berhiba-hiba kepada Rasulallah yang sedang lalu didepannya. Barangkali pengemis itu tahu ketika Rasulallah pergi ke pasar, baginda memakai baju usang dan apabila kembali, baginda memakai gamis baru. Mendengar permintaan pegemis itu,  Rasulallah terhenti sebentar. Baginda berasa hairan, bagaimana pengemis itu tahu bahawa baginda membawa baju usang itu bersamanya. Penegemis itu masih menadah tangannya, sambil ulangi perkataannya. "Sedekahlah tuan! percayalah bahawa nanti Allah akan mengganti baju itu, dengan baju baru di syurga!" ujar pengemis itu dengan terhiba-hiba. 

Mendengar permintaan pengemis tua itu, Rasulallah bukan memberi baju usangnya, tetapi baginda membuka baju baru yang dipakainya, lantas menyerahkan kepada pengemis itu. "Nah, ini saya berikan kepada pakcik, yang usang ini saya pakai semula," ujar Rasulallah. Pengemis itu berasa hairan dengan pemberian yang tidak disangka-sangkanya itu. Bagaimanapun baju pemberian Rasulallah itu segera dipakainya. "Terima kasih, tuan! semoga Allah akan membalasi budi baik tuan, dan tuan akan menerima balasan yang berlipat ganda di syurga kelak. Dan Rasulallah sendiri akan mendoakan tuan kepada Allah, apabila mengetahuinya," ujar pengemis itu. Rupanya pengemis itu belum kenal kepada Rasulallah (s.a.w).

Setelah memberikan baju yang dibelinya itu, Rasulallah kembali semula ke pasar dan baginda membeli sehelai lagi gamis yang serupa dengan gamis yang di berikannya kepada pengemis itu. Baginda berjalan cepat-cepat kerana waktu maghrib sudah hampir tiba. Bagaimanapun dalam perjalanan pulang, baginda melihat wanita yang diberikan wang tadi sedang menangis di bahu jalan. Lalu baginda menghampirinya dan dilihatnya bakul wanita itu sudah penuh berisi barang-barang belanjaan dari pasar. "Tadi engkau menangis kerana wangmu hilang dan bakulmu kosong, tetapi sekarang bakulmu sudah penuh namun engkau masih menangis, apa lagi yang engkau tangiskan?" tanya Rasulallah (s.a.w).
"Sss...ssa..say....saya tt..ttak...takkk...takut, tttu....tt....ttu....tuan!" jawab perempuan itu, sambil menundukkan wajahnya. "Takut? Apa yang engkau takutkan?"
"Ssaya takut kena marah nanti setelah saya pulang ke rumah!" "Kenapa engkau mesti kena marah?" "Sebab saya sudah lama berbelanja di pasar. Tuan saya nanti akan memarahi saya dan menuduh saya melakukan pekerjaan yang tidak baik dan saya akan dideranya dengan rotan!" Jelas perempuan itu. "Kalau begitu baiklah saya hantarkan engkau pulang. Akan saya terangkan nanti kepada tuanmu sebab-sebab engkau terlambat pulang, supaya engkau tidak dimarahinya!" Perempuan itu mengangguk tanda setuju, lantas dia bangkit dari duduknya dan menjunjung bakulnya yang penuh dengan barang belnja itu. Melihat keadaan itu baginda menyuruh perempuan itu berjalan di hadapan dan baginda mengiringinya di belakang. Maka berjalanlah perempuan itu dengan hati yang lega bercampur takut.

"Inilah kampung tempat saya tinggal tuan!" ujar perempuan itu kepada Rasulallah. Rupanya di tinggal di kampung Anshar. Setelah beberapa saat kemudian, sampailah mereka di sebuah rumah yang di katakan perempuan itu. Besar kemungkinan, penghuni rumah ini telah melihat dari jauh, bahawa hambanya pulang dengan di temani seorang lelaki. Oleh kerana itu mereka cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan mengintai di balik pintu.
"Ini rumah tuanmu?" tanya Rasulallah. "Benar tuan!" Rasulallah (s.a.w) segera memberi salam. "Assalamu'alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh!" Tiada seorang pun yang menjawab salamnya. "Hairan...! Tadi ada orang yang ternampaknya dari luar rumah ini," fikir Rasulallah. "Assalamu'alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh!" Rasulallah (s.a.w) mengucapkan salam sekali lagi. Kali ini baginda menguatkan sedikit suaranya, namun salam baginda tidak di jawabnya. Kemudian Rasulallah (s.a.w) mengucapkan salam sekali lagi. Sudah tiga kali baginda mengucapkan salam untuk isi rumah itu. Baru saja baginda selesai mengucapkan salam, dengan serentak penghuni rumah tersebut menjawab salam Rasulallah tadi dengan suara yang kuat. "Wa'alaikumus Salaam, yaa Rasulallah, wa barakaatuh!" ujar mereka. Kemudian keluarlah beberapa orang perempuan dari rumah itu.

"Salam engkau tadi, ya Rasulallah, adalah suatu doa yang paling mustajab. Oleh demikian kami menunggu hingga salam itu engkau ulang mengucapkannya sebanyak tiga kali, supaya kami mendapat berkat yang berlipat ganda, wahai Rasul Allah yang mulia!" ujar mereka sambil mempersilakan Rasulallah (s.a.w) naik ke rumah. "Terima kasih banyak, tak usahlah saya naik kerana di rumah ini tiada lelaki. Tidak baik perempuan menerima tamu lelaki di rumahnya, apabila di rumahnya tiada seorang pun orang lelaki. Tambahan lagi kedatangan saya ke mari bukanlah untuk berkunjung, tetapi adalah bagi menghantarkan hambamu itu.
Menurut katanya, dia sudah terlambat pulang dari pasar, tadi saya temui dia sedang menangis di tepi jalan, apabila saya tanyakan kepadanya kenapa dia menangis, katanya dia takut kena marah oleh tuannya sebab dia terlambat pulang dari pasar. Itulah sebabnya saya menghantarnya ke mari. Oleh yang demikian janganlah kamu dera dia di sebabkan kesalahannya yang sedikit itu," ujar Rasulallah (s.a.w).

"Demi Allah, ya Rasul Allah, kami tidak akan menderanya. Malahan, kami amat bahagia pada petang hari ini kerana sudah mendapat berkat yang tidak terhingga. Oleh kerana itu, maka dengan bersaksikan engkau ya Rasul Allah, hamba kami ini kami merdekakan!" ujar salah seorang daripada mereka. Adapun hamba sahaya yang baru di hantar pulang oleh Rasulallah tadi merasa takut, segan bercampur malu. Kerana baru dia mengetahui siapa sebenarnya lelaki yang memberinya wang, dan menghantarnya pulang pada waktu petang. Rupanya orang itu adalah Rasulallah (s.a.w). Serta merta hamba itu meletakkan bakulnya dan berlutut mencium tangan Rasulallah. "Wahai Rasulallah, dengan apa kiranya akan saya balas budimu yang begitu agung terhadap saya. Hanya Allah sajalah yang akan membalsnya!" ujar wanita itu sambil menangis terisak-isak, tangis bahagia.
"Saya pun sangat bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Adil. Engkau sudah merdeka dan tetaplah engkau bersyukur kepada Tuhan kerana Dia jualah maka engkau beroleh kemerdekaan dirimu pada hari ini," ujar Rasulallah. Rasulallah (s.a.w) pulang ke rumahnya dengan perasaan yang sangat gembira. 

Wangnya sebanyak lapan dirham yang di bawanya pagi tadi amat banyak membawa berkat pada hari itu. Dia akan diberkati Allah, selama baju yang disedekahkannya dengan nama Allah tadi dipakai oleh pengemis tua itu. Dan pada hari yang bahagia itu juga seorang hamba sahaya telah dimerdekakan oleh tuannya. Manakala hamba sahaya perempuan itu pula, menangis kerana kehilangan wang dua dirham membawa berkat yang tidak terlupakan sepanjang hayatnya. Kejadian itu adalah merupakan salah satu sebab mengapa dirinya beroleh kemerdekaan pada hari itu.


04 Februari 2013

Today Is My Birthday ^^




Assalamu'alaikum w.b.t
Alhamdulillah, Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammmad s.a.w. ahli keluarga dan para sahabat baginda. 

Duhai sahabat, apa khabar iman dan niatmu? Di hatimu, masihkah terdetik nama Allah saat ini. In Shaa Allah, moga Allah senantiasa bertahta di hatimu. 

Alhamdulillah, 1 feb. hari itu, genap 17tahun arwah abah meninggalkan kami sekeluarga.
Dirasakan bagai semalam dia bersama kami. Banyak perkara yang ana rindu, dan tak boleh di lupakan, walaupun ketika itu masih kanak-kanak. Al-Fatihah untuk arwah abah. 
Ya Allah tempatkanlah arwah ayahku dikalangan orang-orang yang beriman, cucurilah rahmat keatasnya. Aamiin Ya Rabbal' Alamin.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.'' (Hadis Riwayat Muslim).
ANAK SOLEH:
Anak adalah amanah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ayah dan ibulah yang akan mencorak anak-anak menjadi soleh dari pelbagai segi. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Setiap bayi itu dilahirkan atas suatu fitrah, tetapi kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan ia Yahudi, Nasrani dan Majusi."
#Anak yang soleh merupakan saham kita di Akhirat nanti.#

  
Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, seiring dengan pengurangan usia, makin dekatlah ALAM KEMATIAN itu kepada ana. Sesungguhnya hidup di dunia ini hanyalah sementara sahaja.
::"Wahai anak muda jangan sangka matimu tua, wahai si tua jangan sangka kamu tiada mati"::
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

AMALAN
Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal- amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan."


 Sabda Nabi s.a.w.
"Tidak berganjak kedua-dua kaki Seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ia                           

di soal mengenai umurnya pada  perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia 

gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, 

mengenai tentang Tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta 

kecergasannya."(HR Tarmizi).

KESIHATAN
: SIHAT SEBELUM SAKIT
: MUDA SEBELUM TUA
: KAYA SEBELUM MISKIN
: LAPANG SEBELUM SEMPIT
: HIDUP SEBELUM MATI
     
       Nabi s.a.w.  telah bersabda:
"Dua jenis kenikmatan yang kebanyakan manusia dapat ditipu oleh kedua-duanya, iaitu kesihatan dan waktu lapang." (Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w:
 "Tidak ada seorang muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w bersabda:
"Berubatlah , sesungguhnya Allah Azza Wajalla tidak meletakkan (kepada manusia) sesuatu penyakit melainkan diturunkan  untuknya (penyakit tersebut) penawar kecuali satu penyakit (tiada ubat baginya). Lalu para sahabat bertanya apakah dia? ( penyakit yang tiada ubat itu ya Rasulullah) lalu Rasulullah menjawab, Tua(mati)." (Riwayat Abu Daud)


Bersyukur bukan hanya dengan HATI.. harus disusuli dengan LISAN serta PERBUATAN
"Orang yang beriman sentiasa sibuk, sehinggakan masa yang ada itu tidak mencukupi.  Sekiranya masa itu boleh di beli, maka dia akan membeli." 

>Ya Allah Engkau berkati dan panjangkanlah umurku dalam ketaatan kepada-Mu dan baguskanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku< Aamiin Ya Rabbal' Alamin.



02 Februari 2013

Qalbun Salim (Hati yang sejahtera)


Assalamu'alaikum w.b.t :-)
Alhamdulillah, Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammmad s.a.w. ahli keluarga dan para sahabat  baginda. 

Duhai sahabat, apa khabar iman dan niatmu? Di hatimu, masihkah terdetik nama Allah saat ini. In Shaa Allah, moga Allah senantiasa bertahta di hatimu. 

Firman Allah dalam surah al-Araf ayat 201 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya."

dan firman Allah lagi dalam surah al-Araf ayat 205 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai."

Daripada Tsauban R.A berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

'Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka"

maka salah seorang sahabat bertanya,"Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?'

Nabi s.a.w menjawab, "bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan"

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?"

Rasulullah s.a.w menjawab," CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT PADA MATI."
(HADIS RIWAYAT ABU DAUD)

Hati adalah RAJA

Dari Nu'man bin Basyir, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bila mana dalamnya sudah rosak, buat apa pun Allah....

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tidak lurus IMAN seseorang hamba, sehingga lurus HATINYA, dan tidak lurus HATI sehingga   lurus LIDAHNYA." (Riwayat Ahmad)

"Qalbun Salim" (Hati yang sejahtera)
Keadaan yang kita lalui atau miliki bukan pengukur kejayaan. Kejayaaan yang sebenar terletak sejauh mana kita mengingati Allah ketika kita memiliki sesuatu atau semasa menghadapi sesuatu situasi tak kira masa dan keadaan.

Allah yang menggengam hati kita, selayaknya kita berdoa kepada Allah agar menggantikan hati yang baru. In Shaa Allah.
Apa yang kita lihat itu yang akan mempengaruhi hati..
Apa yang kita dengar.. Apa yang kita makan..
Apa yang kita cakap.. everything.. bersangkut paut dengan hati.
"HATI INILAH YANG AKAN KITA BAWA UNTUK BERJUMPA DENGAN ALLAH"

Teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
"Barangsiapa yang melihat suatu kemungkaran, hendaklah dicegah dengan TANGAN. Jika tidak dengan tangan, dengan LIDAH. Dan paling tidak dengan HATI, iaitu selemah-lemah iman."

Firman Allah dalam surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hatinya dengan mengingati Allah, Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah segala hati."

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Maka ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan syukurilah atas nikmat-Ku dan jangan sekali-kali kufur."

# TERINGAT LAGU OPICK UBAT HATI #
Ubat Hati ada 5 perkara:
Yang Pertama Baca Alquran dan maknanya
Yang Kedua Solat Malam Dirikanlah
Yang Ketiga sentiasa bergaul Dengan Orang Soleh
Yang Keempat Perbanyakkanlah Berpuasa
Yang Kelima Zikir malam berpanjanglah
In Shaa Allah.. mudah-mudahan bisa kita lakukan. 

Wahai Tuhan kami yang membolak-balikkan hati, 
tetapkanlah hati ini akan Agama-Mu. Aamiin Ya Rabbal A'lamin
#YA ALLAH CANTIKKANLAH AKHLAK KU 
SEBAGAIMANA TELAH ENGKAU CANTIKKAN WAJAHKU#



24 Januari 2013

Saiyidul Istighfar

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 199 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat 

bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah 

(dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi 

Maha Mengasihani."

Allahumma anta rabbi-
 Ya Allah, Engkaulah Rabb-ku.

Laa ilaha illa anta-
Tidak ada Ilah selain Engkau.

Khalaqtanii wa anaa abduka-
 Engkau yang telah menciptakan aku, 
dan aku adalah hamba-Mu.

Wa anaa ala ahdika wa wa'dika mastatho'tu-
Aku sentiasa berada di atas janji kepada-Mu dan (meyakini) janji-Mu, sesuai dengan kemampuanku.

A'uzu bika min syarri maa sona'tu-
Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan (amal) yang aku lakukan.

Wa abu'u laka bi ni'matika 'alaiya-
Aku mengakui segala nikmat-Mu yang Engkau berikan kepadaku.

Wa abu'u bizanbi-
Dan aku akui juga dosa-dosaku.

Faghfirlii innahu laa yaghfiruz zunuuba illah anta-
Maka ampunilah aku kerana tiada yang mengampuni dosa-dosa selain Engkau.

Adalah menjadi sunnah Rasulullah s.a.w untuk beristighfar. Berdasarkan beberapa hadis, Baginda diriwayatkan beristighfar lebih 70 kali sehari, ada juga menyatakan sehingga 100 kali. Apa pun, beristighfar menjadi amalan hidup Rasulullah s.a.w walaupun Baginda adalah seorang yang maksum dan dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.

       

Dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dikatakan dari 
Abdullah bin Umar
bahawa Abu Bakar berkata, "Wahai Rasulullah, ajarkanlah aku sebuah doa yang boleh aku panjatkan dalam solatku."

Maka Rasulullah s.a.w bersabda, "Bacalah Ya Allah sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh menghapuskan dosa kecuali Engkau. Maka ampunkan aku dengan suatu keampunan dari sisi-Mu dan kasihanilah aku . Sesungguhnya engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Cuba kita renungkan, kenapa selesai sesuatu ibadah, kita dianjurkan untuk beristighfar dan bukannya mengucap tahmid. Sebahagian ulama menjelaskan, antara rahsianya ialah, meskipun kita melaksanakan ibadat, pada masa yang sama kita melakukan suatu dosa atau kesalahan. Mungkin kita melakukannya kerana riak atau perkara-perkara lain yang bukan kerana kerana Allah. Ataupun katakanlah beribadat itu dirasakan benar-benar dengan ikhlas, mungkin juga ada bahagian-bahagian yang terkurang, salah dan sebagainya. Itulah sebabnya selesai beribadat, kita dianjurkan untuk beristighfar.

Firman Allah yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat), kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 
(Surah an-Nisaa' ayat 110)

#Amat benarlah firman Allah itu#
In Shaa Allah sama-samalah kita perbanyakkan istighfar tak kira keadaan apa sekalipun. Kerana Allah itu At-Tawwab, Al-Afuww. Kasih Sayang Allah lebih dari kemurkaan-Nya.