Khutbah terakhir ini disampaikan baginda pada 9 Zulhijjah Tahun Ke 10 Hijrah. Di Lembah Uranah, Arafah. Oleh itu, marilah kita renungi khutbah tersebut yang merupakan khutbah terakhir Rasulullah S.A.W.
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang
hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai
suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu menyakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu
lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu dan dia pasti
membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan
riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai
sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia
telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya kepada perkara-perkara kecil.
Wahai mausia, sebagaimana kamu mempunyai hak terhadap isteri kamu mereka juga
mempunyai hak terhadap kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka
terhadap kamu maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana
kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, beremah lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu
yang setia. Dan hak kamu terhadap mereka ialah mereka sama sekali tidak
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah
sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah
zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘ibadah haji' sekiranya kamu
mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang
lain. Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang
lain kecuali taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk
dipertanggungjawabkan terhadap segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu,
awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran
selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan
datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan
kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah,bahawasanya telah aku sampaikan
risalah Mu kepada hamba-hamba-Mu".
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan