20 Februari 2013

::Seni Berumahtangga::


"Rabbi-'shrah li sadri wa yassirli amri wa-hlul 'uqdatan min lisani yafqahu qawli."
Assalamu'alaikum w.b.t ^_^ , 
Segala Pujian Hanya Untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala, Selawat serta salam buat Nabi s.a.w. ahli keluarga dan sahabat baginda sekelian.
 Wahai sahabat apa khabar iman dan niatmu ketika ini, masihkah ada Allah di hatimu, In shaa Allah.. mudah-mudahan imanmu bertambah kuat, keyakinanmu bertambah mantap, dan terus istiqamah.
Alhamdulillah, walaupun diri ini tidak berapa sihat, tetapi syukur nikmat yang lain masih sihat. 
"Fokus pada kurniaan Allah bukan pada kesakitan itu semata-mata"

>>Entry kali ini ana ingin berkongsi catatan mengenai seni berumahtangga, walaupun ana masih belum berkahwin, tetapi insyaa Allah tidak lama lagi ^^ masing-masing mempersiapkan diri, insyaa Allah.<<
::Diriwayatkan dari Anas r.a, katanya,
"Sesungguhnya beberapa orang sahabat Nabi s.a.w
Apakah amalan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w yang tidak di ketahui oleh mereka.
Ada diantara sahabat yang memberitahu bahawa mereka tidak mahu berkahwin. Ada yang kata mereka tidak makan daging. Ada juga yang menyatakan mereka tidak pernah tidur di atas hamparan.
Sebaik saja mendengar perkara itu Nabi s.a.w memuji Allah dan bersabda,"Apa kena dengan mereka. Mereka berbicara tentang itu dan ini. Sesungguhnya aku mendirikan solat, tidur. Aku berpuasa, berbuka dan berkahwin. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, dia bukan daripada golonganku (umatku)." 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai dan Ahmad) 
                                    Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan  kebahagiaan dalam berumahtangga. Insyaa Allah impian itu akan dapat dicapai jika mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.
   1.  Kita perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal. Ianya selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."

      2. Kita perlu menyedari bahawa perkahwinan kita dengan orang yang di kasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tanpa restu dan izin dari yang Maha Esa, perkahwinan kita dengan pasangan tidak mungkin terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah kita untuk ke arah itu. Kita perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan  kita terletak di tangan-Nya, dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa yang di kehendaki-Nya. Sebagai seorang yang beriman kepada qada' dan qadar-Nya, kita hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh kita dengan pasangan berpanjangan hingga ke akhir hayat. Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

    3.   Perkahwinan menciptakan hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh suami dan isteri. Antara tanggungjawab suami ialah memberi nafkah zahir dan batin, mendidik isteri dan anak-anak, berlaku baik terhadap mereka dan sebagainya. Manakala tanggungjawab isteri pula taat pada suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan hukum syarak, memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan sebaginya. Melaksanakan tanggungjawab ini bukan sekadar menggembirakan hati pasangan sahaja, sebaliknya mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

    4. Sebagai seorang mukmin, sama ada lelaki atau perempuan, kita hendaklah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud: 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

Oleh itu kita mestilah memahami kedudukan kita disisi pasangan. Kita bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, ibu bapa jatuh ditempat kedua, kemudian barulah isteri dan keluarga sebelah isterinya. Sementara bagi isteri pula, suami ditempat kedua selepas Allah dan Rasul-Nya, kemudian baru ibu bapa kandungnya.
    5.   Kita harus ingat, pasangan kita adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Kita juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan kita melakukan kesilapan janganlah terlalu diperbesarkan atau dihitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafkan.

     6. Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian  bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk melindungi diri daripada hujan dan panas, begitulah pentingnya kita kepada pasangan. Sebagai pakaian kita diperlukan setiap masa oleh pasangan untuk menutup keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Kita perlu menjadikan diri kita sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.

7. Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara kita dan pasangan  sebelum perkahwinan. Ijab kabul bukan sahaja menjadikan kita sah sebagai suami isteri, malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan. Kasih sayang bukan sahaja berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.  
     8.  Kita perlulah beradab ketika pertemuan kali pertama dengan pasangan. Suami hendaklah memberi salam  kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri  sambil berdoa dengan maksud:
"Wahai Tuhanku aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu, pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan dan dijauhkan kejahatan. Dan jika pasangan hendak bersama bacalah doa yang bermaksud:
"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau akan anugerahkan kepada kami."

9.  Saling memaafkan antara satu sama lain. Bak kata pepatah "sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri." Maka apabila berlaku perselisihan faham janganlah diperbesarkan. Jika suami marah seeloknya si isteri berdiam, dan jika sebaliknya giliran suami pula mendiamkan diri. Hidup yang saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahkan seri dalam rumah tangga. Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diberikan ujian akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar memudahkan usaha setiap individu dalam melayari kehidupan berumahtangga. 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
"SESEORANG AKAN MENJADI HAMBA KEPADA APA-APA YANG DICINTAINYA."
(Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapat kemanisan iman, iaitu
Allah dan Rasul-Nya lebih di cintai daripada selain kedua-duanya, serta memcintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan