19 Januari 2013

:.Peribadi Seorang Da'ie:.


Seorang da'ie harus memahami bahawa jalan dakwah tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan. Seorang da'ie itu, harus mempunyai ketabahan hati agar mampu berhadapan dengan dugaan dan cubaan . Tambahan lagi  dugaan dan cabaran itu datangnya daripada sumber yang pelbagai.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


"Maka bersabarlah sebagaimana bersabarnya “ulul-‘azmi” (orang yang mempunyai keteguhan hati) daripada para rasul, dan janganlah kamu meminta disegerakan bagi mereka. Pada hari mereka melihat apa yang diancamkan kepada mereka, seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari. Sudah memadai! Maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik".

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


"Wahai anak kesayanganKu, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Surah Luqman ayat 17).

CABARAN LUARAN
Renungilah firman Allah S.W.T  tentang ancaman cubaan dari luar yang bermaksud;

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan engkau daripada apa yang telah Kami (Allah) wahyukan kepada engkau, agar engkau mengada-adakan yang lain atas Kami (Allah); dan kalau demikian (engkau lakukan) tentulah mereka menjadikan engkau sahabat yang akrab."  (Surah Al-Isra' ayat 73).

Jika tiada kemantapan ilmu dan keteguhan iman di dada, pasti kita terpaling sedikit. Dan biarpun kita terpaling hanya sedikit, tetapi balasannya cukup besar.

Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 74-75 yang bermaksud:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dan kalau Kami (Allah) tidak tetapkan (hati) engkau, nescaya engkau hampir-hampir condong sedikit kepada mereka.  Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami (Allah) akan rasakan kepada engkau (seksaan) berlipat ganda semasa hidup (di dunia ini), dan berlipat ganda (lagi) sesudah mati. Kemudian kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami (Allah)".


Renungilah kisah penawaran  pihak kafir Quraisy kepada Rasulallah s.a.w.; Kaum Quraisy tidak akan menghalangi pekerjaan Rasul. Islam boleh hidup terus. Malah mereka akan turut bersama-sama beribadah secara Islam pula, asal orang Islam mahu turut pula, memuja dewa-dewa yang mereka puja. Boleh berganti-ganti setahun ke mari, setahun ke sana.
"Dan apabila ada unsur-unsur kebaikan yang engkau bawa, maka kami akan bersama-sama dengan engkau menjalankannya; dan kami akan ambil bahagian kami daripadanya. Dan jika ada unsur-unsur kebaikan yang ada pada kami, bersama-sama pulalah engkau menjalankannya; dan engkau ambillah bahagianmu daripadanya."
Rasulallah s.a.w. menjawab: "Berlindung aku dengan Allah, jangan sampai aku mensyirikkan Dia dengan yang lainnya." Kaum Quraisy pun mengurangkan isi tawaran mereka: "Kalau begitu, engkau terimalah sebahagian sahaja dari tuhan-tuhan kami, kami akan akui kebenaranmu; dan kami sembah Tuhanmu." Dengan cepat dan tegas Rasulallah s.a.w. memberikan jawapan dengan firman Allah S.W.T.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
"
Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, 
aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah  Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku." 
(Surah Al-Kafiruun ayat 1-6). 
Bertanya Sa'ad bin Abi Waqqas: "Di antara manusia, siapakah yang mendapat sebarat-berat ujian , ya Rasulallah?" Rasulallah s.a.w. menjawab : "Para Nabi , kemudian orang-orang yang sama seperti mereka; lalu orang-orang yang sama dengan mereka itu pula."

CABARAN DALAMAN

Seorang da'ie itu, disebabkan oleh jiwa perjuangan dan idealisme murninya, adalah seorang yang tidak biasa dengan soal-soal mencari nafkah, seorang yang tidak dapat masuk ke dalam sistem kepegawaian yang biasa, seorang yang tidak boleh melalui birokrasi mencengkam, seorang yang tidak boleh terikat dengan apa-apa kepentingan kerana lidahnya lancar menuturkan kata-kata yang kadangkala tajam dan pedas. Lalu timbullah masalah bila masyarakat kurang memahami dan masih rendah taraf ekonominya; siapa yang akan membiayai kerja-kerja dakwah? siapa yang akan membiayai kehidupan para pendakwah? Apatah lagi bila sudah berkeluarga cabarannya semakin meningkat. Adakah hendak diutamakan kehidupan pasangan dan anak-anak? Ataupun  perjuangan yang harganya adalah kehidupan yang sederhana dan kadangkala melarat? kerana itulah Rasulallah s.a.w. mengingatkan kepada isteri-isterinya:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
".....Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut'ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.”
 (Surah Al-Ahzab ayat 28-29).
Sebab itulah, seorang da'ie harus memastikan dua perkara:
:. Membina pengaruh dan memastikan pengaruh yang diperolehi itu tetap bersih daripada unsur-unsur yang tidak sihat, dan jangan sampai penghormatan sampai ke tahap ta'sub  dan memuja-muja.
:. Da'ie itu sendiri jangan hanyut dalam populariti dan pengaruh yang diperolehi sehingga dia lupa daratan dan menyimpang dari tujuan dakwah yang sebenar.

SUMBER KEKUATAN

Sumber kekuatan untuk berhadapan dengan segala macam dugaan dan cabaran tidak lain dan tidak bukan adalah daripada Allah S.W.T. Oleh sebab itu seorang da'ie perlu berusaha membina hubungan yang baik dengan Allah S.W.T.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
"Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. Dan katakanlah: 'Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong." (Surah Al-Isra' ayat 78-80). 

Usahlah kita gentar dan gusar lagi sekiranya kita sudah dekat dengan Allah S.W.T. kerana Allah pasti bersama kita. Sepertimana yang dibisikkan oleh Ilahi kepada kedua utusan-Nya, Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tatkala mereka dalam kegusaran untuk berhadapan dengan Firaun yang zalim.
Firman Allah yang bermaksud:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
"Janganlah kamu berdua khuatir sesungguhnya Aku beserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat." (Surah Thaha ayat 46).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan