06 Disember 2012

Adab Menuntut Ilmu

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah, menerangkan bahawa mencari ilmu wajib hukumnya atas setiap orang muslim, baik lelaki mahupun perempuan. Selama manusia layak hidup dia layak mencari ilmu.

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat daripada orang lain. Seperti mana firman  Allah SWT dalam surah Al-Mujaadilah ayat 11: 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

Sebaik-baik ilmu adalah ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan alam semesta.
Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih Al'Utsaimin dalam kitabnya "kitabul Ilmi", menyebut beberapa adab dalam mencari ilmu, antaranya:

  • IKHLAS KERANA ALLAH SWT
:::> Niat menuntut ilmu hendaklah kerana Allah SWT. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan "gelaran" agar boleh mendapat kedudukan yang tinggi atau ingin menjadi orang yang "terpandang", atau niat yang sewaktu dengannya, maka Nabi SAW telah memperingatkan, seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud: "Barangsiapa yang mempelajari suatu ilmu tidak kerana Allah, dia tidak akan mendapatkan harumnya syurga di hari kiamat".

  • UNTUK MENGHILANGKAN KEJAHILAN DARI DIRINYA DAN ORANG LAIN
:::>Semua manusia pada mulanya jahil, maka dari itu, kita harus berniat menghilangkan kejahilan dengan menuntut ilmu. Setelah kita memiliki ilmu, kita wajib mengajarkannya kepada orang lain untuk menghilangkan kejahilan dari diri mereka. Nabi SAW bersabda: "Sampaikanlah dariku walaupun cuma satu ayat. (Hadis Riwayat Bukhari).
Dan kita sebagai umat Islam juga diwajibkan selalu untuk menuntut ilmu dan menambah ilmu pengetahuan yang kita miliki seperti firman Allah dalam surah Thaahaa ayat 114:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".

  • BERNIAT MENUNTUT ILMU UNTUK MEMBELA SYARI'AT
:::>Penuntut ilmu harus membela agamanya dari hal-hal yang menyimpang (bid'ah), sebagaimana ajaran Rasulallah SAW. Hal ini sulit dilakukan, kecuali oleh orang yang memiliki ilmu yang benar, sesuai petunjuk Al-Qur'an dan As-Sunnah.

  • LAPANG DADA DALAM MENERIMA PERBEZAAN PENDAPAT
:::>Penuntut ilmu hendaklah menerima perbezaan pendapat dengan berlapang dada selama perbezaan itu pada persoalan ijtihad, bukan persoalan aqidah. Jangan sampai kita menghina atau memburukkan orang lain yang kebetulan berbeza pendapat dengan kita.

  • MENGAMALKAN ILMU YANG TELAH DIDAPATKAN
:::>Salah satu adab yang terpenting bagi para penuntut ilmu adalah mengamalkan ilmu yang diperolehinya. Amal adalah buah dari ilmu, baik itu aqidah, ibadah, akhlak mahupun muamalah. Ilmu tidak akan ada manfaatnya kecuali diamalkan.

  • MENGHORMATI PARA ULAMA DAN MEMULIAKAN MEREKA
:::>Penuntut ilmu harus selalu berlapang dada dalam menerima perbezaan pendapat yang terjadi dikalangan ulama. Jangan sampai kita mengumpat atau mencela ulama yang kebetulan keliru didalam memutuskan sesuatu masalah. Mengumpat orang awam sahaja sudah termasuk dosa besar, apatah lagi terhadap ulama.

  • MENCARI KEBENARAN DAN SABAR
:::>Seorang penuntut ilmu harus mencari kebenaran dari ilmu yang telah didapatkan. Ketika sampai kepada kita sebuah hadis misalnya, kita harus meneliti terlebih dahulu tentang kesahihan hadis tersebut, kita harus sabar, tidak boleh tergesa-gesa. Jangan sampai kita mempelajari satu pelajaran setengah-setengah. Kalai seperti itu, kita tidak akan mendapatkan apa-apa.

Alhamdulillah, Semoga kita termasuk orang yang senang mencari ilmu. Dan semoga Allah selalu melindungi kita dari ilmu yang tidak bermanfaat, iaitu ilmu yang boleh menghancurkan kehidupan alam semesta ini. Ilmu yang tidak bermanfaat juga akan menjadi bumerang bagi diri kita. Sebagai manusia kita harus menyedari bahawa sepandai-pandai manusia, masih ada yang Maha Pandai iaitu Allah. Jangan sampai kita merasa sombong hanya kerana memiliki ilmu yang melebihi orang lain. Allah meliputi segala ilmu yang dimiliki oleh manusia, seperti firman Allah dan surah Al-Israa' ayat 60:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dan (ingatlah) tatkala Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-melampau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan