08 Disember 2012

Berani Kerana Benar!!


            Nabi Muhammad Sallallahu 'alahi wasallam, adalah seorang yang berani, bahkah sangat berani. Keberaniannya digunakan untuk membela diri yang disertai semangat suci, iaitu membela agama, risalah yang dibawa baginda. Dalam perjuangan itu baginda menghadapi maut, tetapi baginda tidak takut. Kerana dalam memperjuangkan agama, matinya adalah mati yang terhormat (syahid), yang membawa kemuliaan.

                  Rasulallah SAW, bukan sekadar seorang yang berani, tetapi baginda adalah teladan untuk orang-orang yang berani. Keberanian sentiasa ada pada diri baginda, tidak kiralah pada waktu damai, ketika perang, saat pembelanya sedikit, bahkan ketika baginda bersendirian. Dalam lembaran sejarah, tiada seorang pun yang sepadan dengan keberaniannya dengan Rasulallah. Sudah tentu kerana keberanian baginda berasal dari Allah Subha nahu wa ta'ala.

                  Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata yang bermaksud: "Jika keadaan semakin sukar dan menghadapi bahaya, maka kami akan berlindung dengan Nabi SAW, dimana tidak seorang pun yang lebih hampir kepada musuh selain baginda sendiri. Bukan sekali musuh yang bersembunyi atau jaguh yang berani terpaksa melarikan diri daripada baginda dalam suasana yang bahaya itu, namun baginda tetap teguh dan tidak berganjak, malah terus maju ke hadapan."

                Dalam satu episod kehidupan Rasulallah SAW ketika berada di Makkah, baginda telah membuat orang-orang Quraisy sangat marah dengan seruannya mengajak mereka memeluk Islam. Para pembesar Quraisy itu kemudiannya menghadap bapa saudara Nabi iaitu Abu Thalib, yang merupakan pemimpin kaum Quraisy di Makkah. Mereka berkata dengan nada protes, "Tuan adalah pemimpin kami, orang yang kami hormati. Anak saudara Tuan talah memaki hamun nenek moyang kami, menganggap kami bodoh, dan mencela berhala yang kami sembah. Sepatutnya Tuan melarangnya, tetapi ternyata Tuan tidak melakukannya. Demi Allah, kami tidak dapat bersabar lagi dengan perbuatan anak saudara Tuan itu. Jika hal ini tetap dibiarkan, kami akan mengambil tindakan kekerasan terhadapnya dan juga terhadap Tuan, sehingga salah satu diantara kita akan celaka atau binasa."

             Abu Thalib sangat berat untuk berpisah dengan kaumnya dan dimusuhi oleh meraka, tetapi dia juga tidak sanggup melihat anak saudaranya Nabi Muhammad SAW dianiaya oleh orang-orang kafir Quraisy. Lalu dia pun berkata kepada Nabi Muhammad SAW, "Wahai anakku, sesungguhnya kaummu telah datang kepadaku. Meraka berkata........ (begitu dan begini). Oleh kerana itu, kasihanilah aku dan dirimu sendiri, dan janganlah aku diberi beban yang tidak sanggup aku pikul."

             Rasulallah SAW yang menyangka bahawa bapa saudaranya itu tidak lagi membelanya berkata, "Wahai bapa saudaraku, demi Allah, seandainya mereka letak matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan dakwahku, aku tetap tidak akan meninggalkannya sehingga agama Allah menang atau aku binasa!" Kemudian baginda menangis, kemudian berganjak lantas berdiri. Namun Abu Thalib memanggilnya dan berkata, "Wahai anakku pergilah dan katakanlah apa-apa yang engkau sukai. Demi Allah, aku sama sekali tidak akan menyerahkan kepada sesiapa pun atau kerana suatu apa pun."

             Dan sebagaimana yang dikatakan oleh Saidatina Aisyah RA, akhlak baginda adalah Al-Quran. Firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulallah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

Apa yang menjadi tekad untuk "menang, atau binasa" dalam memperjuangkan agama Allah, didasarkan pada keyakinan yang ada didalam ayat-ayat Al-Quran.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah At-Taubah ayat 41).

Allah Azza wa Jalla juga berfirman:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (Surah At-Taubah ayat 111).

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menghadapi orang kafir yang menyerbu (kamu), janganlah kamu berpaling ke belakang (melarikan diri) daripada mereka. 
Dan sesiapa berpaling membelakangi mereka pada hari itu (ketika berperang), kecuali kerana tujuan strategi perang atau kerana hendak menggabungkan diri dengan pasukan (yang lain), maka sesungguhnya dia kembali dengan kemurkaan Allah dan tempatnya adalah Neraka Jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah Al-Anfal ayat 15-16).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan